Thursday 20 August 2009

PRODUK BARU MELAKA TARIK PELANCONG

Muzium Pulau Besar, Muzium Kapal Selam
PRODUK BARU MELAKA TARIK PELANCONG

AYER KEROH, 19 Ogos - Melaka akan menambah dua buah muzium lagi pada tahun hadapan iaitu Muzium Pulau Besar dan Muzium Kapal Selam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, kerajaan pusat melalui jemaah menterinya telahpun meluluskan permohonan mengenainya yang dibuat oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bersama Kementerian Pertahanan yang mewakili Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) sendiri pada tahun lalu.

"Dengan kelulusan itu, Melaka dapat menambah dua buah lagi muzium, sekaligus menjadikan 23 buah muzium di negeri ini," katanya.

Katanya, Kapal Selam milik TLDM yang berpengkalan di Cherboug, Perancis sebelum ini digunakan oleh anggota pasukan keselamatan negara untuk berlatih itu akan diletakkan di Pulau Besar, pada tahun depan.

Jelasnya, kapal selam jenis Augusta sepanjang 67.6 meter dan lebar 6.8 meter itu digunakan sebagai tempat latihan anak-anak kapal selam pertama negara, Scorpene atau KD Tunku Abdul Rahman dijadual tiba di Selat Melaka pada 16 Disember ini, sebulan selepas berlepas dari limbongannya di Brest, Perancis.

"Kapal selam ini akan ditempatkan berhampiran Muzium Pulau Besar dan bakal menjadi muzium ke-22 di Melaka, sudah tentu ia bakal menjadikan satu lagi tarikan terbaru di negeri ini dalam bidang pelancongan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri di sini, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, kos pembiayaan bagi membawa pulang kapal selam berkuasa diesel itu akan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pertahanan, manakala kerajaan negeri menanggung kos penempatannya di Pulau Besar.

Ujarnyanya, dengan kehadiran kapal selam itu, Melaka kini sebaris dengan Russia, Jerman, India, Australia, Perancis dan Indonesia yang mengubahsuai kapal selam lama sebagai muzium.

"Kita akan mengambil contoh Muzium Kapal Selam di Jakarta, Indonesia untuk dibina di sini dan saya yakin ia mampu menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Melaka,'' katanya.

Tambahnya, semua kerja mengubahsuai ruang dalaman kapal selam itu dijangka mengambil masa tiga bulan dan akan mula beroperasi selewat-lewatnya menjelang April 2010.

No comments:

Post a Comment