Idris Haron
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, syarikat yang bertanggungjawab menambak laut seluas 16.49 hektar itu turut membina jalan pesisir pantai sejauh 1.5 kilometer.
Menurut beliau, pembinaan jalan empat lorong berhampiran Melaka Gateway itu merupakan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di bandar raya Melaka terutama sewaktu cuti umum dan cuti persekolahan.
“Jalan pesisir pantai itu akan menghubungkan laluan daripada kawasan projek Hatten di Melaka Raya ke Padang Temu. Ini merupakan sebahagian daripada pemba­ngunan yang dirancang untuk projek penambakan laut yang menelan kos keseluruhan RM800 juta.
“Jalan raya ini perlu dibina terlebih dahulu disusuli pembangunan lain yang dirancang bagi menge­lakkan kesesakan trafik yang lebih teruk,” katanya.w
Idris berkata demikian selepas menandatangani MoU antara kerajaan negeri dengan Obor Maju Sdn. Bhd., bagi cadangan projek Menambak Laut di Kawasan Bandar untuk Projek Pembangunan Bercampur di Seri Negeri, di sini semalam.
MoU ditandatangani oleh Idris bagi pihak kerajaan negeri manakala Obor Maju Sdn. Bhd. oleh Pengarah Urusannya, Datuk Mohamad Ali Mohamad.
Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, pihaknya perlu menunggu laporan teknikal daripada pelbagai pihak berkaitan termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, kerja-kerja menambak laut akan dijalankan dalam tempoh 18 bulan selepas laporan teknikal diterima.
“Keseluruhan projek pembangunan di atas tambakan laut dijangka memakan masa antara tiga hingga lima tahun manakala jalan raya dijang­ka siap tahun depan,” katanya.