Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, keputusan yang diambil oleh Malindo Air untuk menjadikan LTAM bagi mengembangkan operasinya bakal merancakkan kembali lapangan terbang itu sejak dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari 2010.
Menurutnya, itu sebagai satu permulaan baik dan memberi makna besar kepada LTAM dilengkapi pelbagai infrastruktur lengkap sebagai sebuah lapangan terbang terbaik tetapi kekurangan syarikat penerbangan beroperasi di sini.
“Sejak saya menjadi Ketua Menteri, cabaran paling besar saya hadapi ialah bagaimana hendak mengisi LTAM sebagai sebuah lapangan terbang yang serba lengkap tetapi kurangnya syarikat penerbangan beroperasi.
“Sebanyak 10 pertemuan dengan pelbagai syarikat penerbangan telah diadakan tetapi hanya Malindo Air sahaja setakat ini menerima pelawaan kita dan terus memulakan operasi penerbanganya yang pertama hari ini.
“Perbincangan saya dengan Malindo Air hanya mengambil masa dua bulan. Saya terkejut apabila mereka menyambut cabaran kita dan bersetuju beroperasi di LTAM, ini memberi makna yang amat besar kepada kerajaan negeri,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyambut ketibaan pesawat pertama Malindo Air penerbangan OD1330 dari Pulau Pinang di LTAM, Batu Berendam di sini hari ini.
Pesawat jenis ATR72-600 membawa 72 penumpang dan anak kapal itu selamat mendarat di LTAM kira-kira pukul 11.35 pagi dan mereka disambut meriah sejurus memasuki lapangan terbang itu.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Lim Ban Hong, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy.
Idris berkata, sebagai permulaan Malindo Air telah bersetuju menyediakan penerbangan dari Melaka-Pulau Pinang, Melaka-Pekan Baru dan Melaka-Kota Bahru.
Menurutnya, syarikat itu menyediakan lima penerbangan seminggu bagi dari Melaka-Pulau Pinang dan Melaka-Pekan Baru iaitu pada hari Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat dan Ahad.
“Bagi penerbangan dari Melaka-Kota Bahru pula akan bermula pada 21 November ini dan penerbangan ini adalah sebanyak tiga kali seminggu iaitu Rabu, Jumaat dan Ahad,'' katanya.
Idris menambah sebagai permulaan harga tiket yang ditawarkan ke semua destinasi tersebut adalah serendah RM70 sehala dan tawaran ini bermula hari ini dan seterusnya.
Beliau menegaskan, kapasiti kemudahan di LTAM akan terus dipertingkatkan bagi memberi keselesaan kepada penumpang dan syarikat Malindo Air menjalankan operasi di situ.
Menurutnya, beliau yakin dengan Malindo Air memulakan penerbangan di LTAM, selepas Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lebih ramai pelancong dijangka datang ke negeri ini.
Sementara itu, Chandran Rama Muthy berkata, dalam tempoh enam bulan akan datang Malindo Air akan mencapai sasaran apabila semua destinasi penerbangan tersebut adalah setiap hari dan bukan lagi seminggu lima atau tiga kali.