Wednesday 17 February 2010

Melaka tuan rumah Festival Filem Muslim Malaysia 2010

MELAKA 16 Feb. - Selaras dengan status sebagai negeri maju dan diiktiraf Bandar Warisan Dunia, Melaka sekali lagi menjadi tumpuan apabila pertama kalinya terpilih menjadi tuan rumah Festival Filem Muslim Malaysia (MFFM) 2010.

Festival yang akan diadakan pada 28 Oktober ini mempersembahkan filem-filem dari negara Islam bagi mempergiatkan program dakwah berbentuk islamiah.

Presiden MFFM, Abdul Wahab Badaruzzaman berkata, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah dibuat berdasarkan kedudukan yang strategik, selain mampu menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara.

Menurutnya, ia bertepatan dengan usaha MFFM dalam menjalin hubungan sedia ada antara negara terlibat sejak 600 tahun selain kedudukannya sebagai bandar raya berkembar, kesaksamaan ekonomi, seni dan agama Islam.

"Sejarah negeri ini sudah cukup menggambarkan pemilihan Melaka sebagai tuan rumah pertama penganjuran MFFM adalah tepat sekali.

''Selain itu, penganjuran ini dapat meningkatkan jumlah pelancong ke Melaka memandangkan festival ini diadakan secara besar-besaran melibatkan kos kira-kira RM13 juta," katanya pada sidang akhbar pra pelancaran MFFM 2010 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan pengasas penganjur MFFM, Kolej Antarabangsa Orange (OIC) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Yahya Ibrahim.

Turut diadakan ialah majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) MFFM 2010 antara pihak penganjur dengan lima agensi yang membantu mempromosikan penganjuran program tersebut.

Selain itu, kata Abdul Wahab, lebih 20 buah negara Islam bergabung idea bagi melahirkan semula semangat kegemilangan dakwah Islamiah melalui teknologi media dan filem dari negara masing-masing.

Katanya, antara negara yang terlibat adalah Uzbekistan, Iran, Sudan, Iraq, Pakistan, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Beliau memberitahu, MFFM tahun ini turut menyaksikan penyertaan kumpulan generasi muda Muslim dari seluruh dunia melalui penulisan skrip berteraskan teknologi terkini tanpa melanggar hukum syarak.

"Festival ini adalah cetusan idea daripada Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang mahukan pengisian ruang kosong dalam industri perfileman negara di bawah slogan Muslim Untuk Semua.

"MFFM dijangka menjadi batu loncatan dan anjakan paradigma untuk menolak imej negatif Islam seperti mana berlaku di Amerika Syarikat dan Rusia," katanya.

MFFM juga bakal mewujudkan lembaran baru bagi negara Islam khususnya dari negara Asia Barat, Asia dan Nusantara.

"Secara tidak langsung, negara kita akan dikenali sebagai negara Islam yang sentiasa membina hubungan silaturahim dengan negara seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, Mohd. Ali berkata, negeri ini bakal menjadi tumpuan masyarakat dunia kerana berjaya mengetengahkan pelbagai program dakwah filem Muslim.

2 comments:

  1. "Nice artikel, inspiring ditunggu artikel - artikel selanjutnya, sukses selalu, Tuhan memberkati anda, Trim's :)"

    ReplyDelete
  2. "Nice artikel, inspiring ditunggu artikel - artikel selanjutnya, sukses selalu, Tuhan memberkati anda, Trim's :)"

    ReplyDelete