Tuesday 6 October 2009

Melaka Bakal Miliki Taman Laksamana Cheng Ho

Dijangka Siap Pertengahan 2011
Melaka Bakal Miliki Taman Laksamana Cheng Ho

BANDARAYA MELAKA, 5 Okt- DMDI Finance House Berhad berjaya meyakinkan Syarikat Berkaitan Kerajaan China (GLC China), Nanjing Treasure Boat Development Company Limited (NTBDC) untuk memberi hak pembinaan replika kapal Laksamana Cheng Ho di negeri ini dengan kerjasama Yuen Her Holdings yang telah diberi hak lebih awal.

Pembinaan replika kapal ini adalah mengikut spesifikasi asal kapal layar Laksamana Cheng Ho yang dibina sekitar 600 tahun lalu.

Sehubungan itu, sebuah taman tema, Taman Laksaman Cheng Ho akan dibina dikawasan tambak laut seluas 30 ekar di Klebang Besar bagi menempatkan replika kapal itu, sebuah hotel berkapasiti 150 bilik, restoran dan kemudahan rekreasi.

Pembinaan projek yang bakal menelan kos sejumlah RM50 juta dijangka bermula awal tahun 2010 dan siap pada pertengahan tahun 2011.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau mahu DMDI Finance House dan Yuen Her Holdings berganding tenaga untuk menangani cabaran sepanjang projek ini berjalan.

Mohd Ali yang juga Presiden DMDI turut merakamkan penghargaan kepada Pemegang Hak Intelektual Rekabentuk Replika Kapal Laksamana Cheng Ho dan Pemegang Hak Pemasaran Global Produk dan Perkhidmatan berkaitan Laksaman Cheng, Asia Phoenix Angels Corporation kerana memberi kepercayaan dan memanjangkan hak pembinaan kepada DMDI Finance House dan Yuen Her Holdings.

"Saya berharap dengan kerjasama ini, pelbagai aktiviti untuk menggalakkan pelancongan antara kedua-dua negara akan dapat dilaksanakan termasuk mendirikan sebuah Galeri Melaka dan Restoran Melaka di Taichang, Jiansu, China,"katanya.

Mohd Ali berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman diantara DMDI Finance House Berhad dan Yen Her Holdings Sdn Bhd dan Pelancaran Zheng He Voyage Sdn Bhd, diHotel Renaissance, disini, petang tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron; Ketua Pegawai Operasi DMDI Finance House Sdn Bhd, Datuk Razali Mahfar; Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Exco DMDI Finance House Sdn Bhd, Dr Roslan A. Ghaffar; Pengerusi Yuen Her Holdings Sdn Bhd, Lim Chong Ling, dan Wakil Asia Phoenix Corporation, Colin Yeo.

Kerajaan Negeri menerusi DMDI Finance House turut menyuntik dana berjumlah RM1 bilion bagi pembangunan taman tema itu.

Projek ini merupakan satu daripada tiga projek yang dijalankan oleh Kerajaan China yang melancarkan Pelayaran Laksamana Cheng Ho Ke-lapan.

Sebuah kapal layar menyerupai kapal layar Laksaman Cheng Ho telah dibina oleh Kerajaan China untuk belayar mengelilingi dunia dan bakal berlabuh di Melaka pada tahun 2011.

Manakala satu lagi projek ialah membangunkan Taman Laksamana Cheng Ho di Taichang, Jiangsu seluas 200 ekar dan menelan kos RM400 juta.

Di taman itu turut ditempatkan sebuah replika kapal Laksamana Cheng Ho yang sama seperti yang bakal dibina di Melaka dan Rumah Melaka.

No comments:

Post a Comment