Monday, 20 July 2009

MELAKA BANDARAYA WARISAN DUNIA TERUS DILIMPAHI PELANCONG

Jadi Sebutan Seantario Dunia
MELAKA BANDARAYA WARISAN DUNIA TERUS DILIMPAHI PELANCONG

BANDARAYA MELAKA, 18 Julai - Melaka terus menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara pada setiap hujung minggu dan cuti umum berikutan kawasan pelancongannya kini menjadi sebutan ramai di serata dunia, lebih-lebih lagi baru-baru ini apabila menyambut ulangtahun pertama sebagai Bandaraya Warisan Dunia (BWD) yang diktiraf oleh UNESCO pada 7 Julai tahun lalu.

Kebanjiran pengunjung termasuk pelancong asing ke negeri bersejarah ini semakin menjadi-jadi sekaligus memberikan sumber pendapatan lumayan, terutamanya kepada para peniaga apatah lagi ditambah pula dengan beberapa produk pelancongan terbaru antaranya Menara Taming Sari (MTS), Eye On Malaysia (EOM) termasuk produk pelancongan Sungai Melaka.

Berikutan itu, hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran kemasukan pelancong ke negeri Sang Kancil ini seramai 7.2 juta sudah pasti akan menjadi kenyataan untuk menjadikan Melaka sebagai negeri pelancongan terunggul di rantau ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di beberapa lokasi pelancongan mendapati kedatangan pelancong disana bertali arus bagaikan tiada henti dan ianya sekaligus memberikan pulangan yang lumayan kepada pengusaha industri pelancongan di negeri ini.

Zoo Melaka misalnya menjadi pilihan utama dikalangan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka bagi menyaksikan sendiri pelbagai binatang yang ada di sana pada setiap hujung minggu.

Dikawasan Banda Hilir pula sentiasa sesak, bukan sahaja kenderaan malah pengunjung turut beratur untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan sendiri panorama Bandaraya Melaka melalui Menara Taming Sari.

Manakala jeti bagi para pelancong yang ingin menyaksikan pemandangan indah Sungai Melaka dengan menaiki bot Melaka River Cruise di Jalan Quayside dan Taman Rempah juga turut menjadi tumpuan para pelancong.

Eye On Malaysia yang hanya dipisahkan oleh Sungai Melaka juga turut menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara.

Pendek kata, motto Negeri Melaka 'Melawat Melaka Bandaraya Warisan Dunia Bererti Melawat Malaysia' amat bertepatan dan kena pada tempatnya.

Jumlah pelancong yang kian meningkat saban hari ke negeri ini ternyata turut memberi limpahan manfaat yang amat bererti sekali bukan sahaja kepada pemilik gedung membeli-belah, penarik beca, peniaga kraftangan, pengusaha warung dan restoran, pemandu teksi, pemandu pelancong, pengusaha hotel dan resort serta seluruh rakyat yang bijak menerokai bidang-bidang baru yang ada hubung kait secara langsung dengan kepesatan industri pelancongan di negeri ini.

Amat jelas sekali, Melaka kini bukan sahaja sedang merintis jalan menjadi sebuah negeri maju menjelang 2010, malah pelbagai rentetan kejayaan yang dicipta mutakhir ini makin mendekatkan Melaka menghampiri era kegemilangannya sebagaimana sejarah yang pernah terpahat kira-kira 600 tahun lalu iaitu agenda besar yang sewajarnya kita realisasikan bersama.

Hakikatnya, industri pelancongan Melaka telah memberi impak yang cukup besar terhadap pertumbuhan sosio-ekonomi rakyat negeri ini.

1 comment:

  1. terima kasih atas kunjungan anda ke blog saya.
    ternyata melaka meninggalkan seibu memori kepada kita semua kerana melaka adalah bandar paling bersejarah!

    ReplyDelete