'Tourism Players' Diminta Bantu Promosi KELAZATAN MASAKAN MELAKA MAMPU PIKAT PELANCONG AYER KEROH, 7 Julai - Usaha mempromosikan masakan Melaka perlu dilakukan secara berterusan terutamanya di kalangan negara-negara ASEAN. Ketua menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, ini kerana Melaka mempunyai keunikan yang tersendiri selain mempunyai pelbagai masakan yang melibatkan pelbagai kaum seperti Melayu, Portugia, China, Baba dan Nyonya, India dan Cheti.
"Sehubungan itu saya berharap, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri bersama dengan 'tourism players' yang lain dapat berusaha dengan lebih gigih lagi ke arah mencapai visi Melaka Maju pada 2010 dengan sasaran kedatangan pelancong seramai 8.2 juta orang," katanya.
Mohd Ali berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pesta Makan Padang bersama Hotel Aryaduta Pekan Baru sempena Ulangtahun Pertama Melaka Bandaraya Warisan Dunia Unesco yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, di sini tengah hari tadi.
Majlis perasmian fiesta tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakub.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh; Pengerusi Rangkaian Hotel Seri Malaysia, Datuk Seri Shafie Mohd Salleh, Pengarah Urusannya, Zahriah Abdul Kadir; Pengarah BPP, Nazary Ahmad; Franchaisee Seri Malaysia Melaka, Ahmad Sazali Sabri dan Pengurus Besar Hotel Aryaduta Pekan Baru, Winston Hanes.
Mohd Ali seterusnya berharap agensi-agensi yang berkaitan perlu memikirkan cara yang terbaik bagi menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negeri Melaka.
"Saya bergarap supaya promosi secara berterusan melalui edaran brosur dan risalah di lokasi-lokasi pintu masuk dan juga tumpuan pelancong seperti Tol Ayer Keroh, Jeti Syah Bandar mahupun di luar kawasan Melaka seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) KL Central, LCCT, Central Market dan sebagainya dapat diperhebatkan lagi," jelasnya.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan atas inisiatif BPP dan Hotel Seri Malaysia yang mengadakan Padang Food & Cultural Festival yang menjadi antara acara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Melaka dan pelancong asing.
Katanya, di Melaka terdapat dua atau tiga restoran Nasi Padang dan jumlah tersebut tidak mencukupi untuk mempopularkan masakan Padang kepada pelancong.
"Promosi seperti ini penting untuk meningkatkan kesedaran kepada pelancong mengenai keunikan kebudayaan Padang dan kelazatan nasi Padang.
"Jika ini dapat dilakukan, saya yakin penggemar nasi Padang dari Singapura, Kuala Lumpur, Seremban dan Johor akan turun ke Melaka untuk menikmati nasi Padang, tanpa perlu ke Pekan Baru atau ke bandar lain di Indonesia," ujarnya.
Beliau menambah, Padang Food & Festival yang diadakan ini merupakan salah satu usaha yang dijalankan bagi mempromosikan sektor pelancongan ke arah mempopularkan lagi makanan dan budaya masyarakat Riau yang semamangnya terkenal dan hampir sama dengan adat dan makanan Melaka.
"Festival yang berlangsung selama 10 hari ini diadakan bersempena sambutan ulangtahun pertama Perisytiharan Melaka Bandaraya Warisan Dunia dan ianya diharap dapat mempereratkan lagi hubungan Melaka dan Pekan Baru," katanya.
|
No comments:
Post a Comment