Tuesday 30 June 2009

Rumah Melaka Produk Baru Pelancongan

Rumah Melaka Produk Baru Pelancongan
PERKAMPUNGAN PERABOT TERBESAR DI BUKIT KATIL

BUKIT KATIL, 29 Jun - Kerajaan Negeri kini sedang membina Rumah Melaka yang akan menjadi perkampungan bagi mempamer dan menjual perabot kayu terbesar, bernilai RM5 juta yang dijangka siap akhir tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, perkampungan perabot yang dibina di tapak seluas 4.4 hektar (11 ekar) itu akan dijadikan produk baru pelancongan Melaka.

"Rumah Melaka akan dibangunkan menggunakan senibina tradisional dan budaya Melaka. Dengan keluasan tapak 7,000 kaki persegi, ia akan turut dilengkapi dengan restoran Melayu yang boleh memuatkan seramai 2,500 orang, sesuai kepada mereka yang ingin mengadakan majlis keramaian dan majlis perkahwinan," katanya kepada pemberita selepas melawat projek berkenaan, hari ini.

Kata Mohd Ali lagi, pembinaan Rumah Melaka juga adalah merupakan kemudahan baru yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk orang ramai dan pelancong mendekati budaya tradisi masyarakat Melayu Melaka.

Turut serta dalam lawatan tersebut, Pegawai Daerah Melaka Tengah, Roslan Ibrahim.

Ketua Menteri menjelaskan, pameran perabot di Rumah Melaka terbuka kepada semua pempamer untuk mempamerkan perabot masing-masing tanpa dikenakan bayaran tetapi dikenakan komisyen setelah mereka berjaya menjual barangan kepada pelanggan.

No comments:

Post a Comment