Tuesday 23 June 2009

Arab City Pulau Melaka


Pengerusi Golden Corporate Heritage, Saleh Al Mansour (dua kanan) mendengar penerangan yang disampaikan oleh Pengurus Projek GCH, Zulkifli Mohammad (kiri) ketika melawat tapak projek Arab City di Pulau Melaka, Melaka, semalam.

MELAKA 22 Jun - Projek pembangunan Arab City di Pulau Melaka di sini bakal menyediakan kira-kira 850 peluang pekerjaan baru kepada anak tempatan apabila projek yang menelan belanja RM250 juta itu siap menjelang awal tahun depan.

Presiden Golden Corporate Heritage Sdn. Bhd. (GCH), Saleh Al Mansour berkata, walaupun projek tersebut berkonsepkan Arab namun pihaknya menetapkan kuota 75 peratus untuk pekerja tempatan manakala bakinya bagi ekspatriat.

Menurutnya, pengambilan pekerja akan mula dibuat pada Ogos ini dan sebagai permulaan tugas penyeliaan akan dikendali oleh kakitangan terlatih yang dibawa khas dari negara Arab.

''Kita sengaja memilih untuk melabur di Melaka kerana ia merupakan bandar warisan dan kedudukannya juga strategik kerana negeri ini bakal mempunyai kemudahan lapangan terbang yang moden dan berdekatan dengan Kuala Lumpur berbanding Pulau Pinang dan Langkawi di Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Arab City di Pulau Melaka di sini yang pada masa ini mencapai tahap 20 peratus pembinaan.

GCH yang ditubuhkan sejak setahun lalu merupakan syarikat usaha sama antara Dubai, Arab Saudi dan rakan usaha sama Malaysia.

Syarikat tersebut mempunyai pejabat cawangan di Dubai dan Arab Saudi dengan kepentingan dalam hartanah, dagangan dan perniagaan minyak dan gas.

Selain itu, kata Saleh, Malaysia mempunyai tarikan istimewa kepada dunia Arab memandangkan budaya masyarakatnya yang mirip dengan penduduk Arab.

Katanya, selain statusnya yang bercirikan Islam, Malaysia juga dilihat mempunyai kemudahan infrastruktur yang mencukupi sekali gus menjamin keselamatan pelaburan syarikat itu pada masa depan.

Mengenai projek Arab City Pulau Melaka, katanya, ia merupakan projek fasa pertama GCH melibatkan pembinaan kawasan perdagangan iaitu menyediakan 240 bazar yang menjual barangan, kraftangan dan makanan mewakili 20 negara Arab di atas tanah seluas 1.84 hektar.

Katanya, ia termasuk pembinaan sebuah muzium Mesir yang menampilkan replika raja firaun, taman tema, teater, spa untuk golongan lelaki dan wanita serta 20 restoran makanan asli Arab.

''Kita yakin projek ini akan berjalan lancar dan mampu menjadi tumpuan pelancong Arab kerana mereka kini mempunyai destinasi pilihan baru di Melaka selain hanya tertumpu di Bukit Bintang," katanya.

Kata Saleh, selain tumpuan fasa pertama Arab City di Pulau Melaka, pihaknya juga menggerakkan projek fasa dua yang lebih berkonsepkan kesihatan di kawasan seluas 13.6 hektar di Klebang dengan kos projek bernilai RM750 juta.

Jelas beliau, antara kemudahan yang bakal dibina ialah pusat penjagaan kesihatan meliputi dua bangunan perubatan masing-masing untuk golongan lelaki dan wanita dengan 400 katil, 40 buah vila berserta pantai persendirian dan hotel dengan 240 bilik.

Pada masa yang sama, katanya, projek fasa ketiga ialah di Kampung Jawa melibatkan kawasan seluas 1.84 hektar dan berkonsepkan pembangunan komersial.

Sumber - Utusan

No comments:

Post a Comment