BANDA HILIR, 22 Mei- Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan keselesaan pelancong terutama yang beragama Islam dengan menyediakan kemudahan tempat beribadat seperti pembinaan Surau Warisan Dunia di Pusat Penerangan Pelancongan di lokasi strategik tumpuan utama pengunjung di Jalan Kota.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, setakat ini kemudahan bilik sembahyang yang ada di sekitar kawasan ini hanyalah di Medan Samudera serta di Restoran Quayside dan keluasannya agak terhad untuk menampung bilangan pelancong beragama Islam yang ramai datang berkunjung ke lokasi ini.
"Surau Warisan Dunia (Masolah Al-Turas Alam) mampu menampung kira-kira 60 jemaah pada satu-satu masa. Dengan adanya kemudahan surau di pusat pelancong ini, para pengunjung khususnya yang beragama Islam akan lebih selesa dan tenang untuk berkunjung ke kawasan ini," kata Mohd Ali.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian Surau Warisan Dunia yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, di sini malam tadi.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Md Yunos Husin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Latiff Tamby Chik; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek Negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan; Pengurus Besar PKNM, Zainal Abu; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Yusof Jantan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Nazary Ahmad.
Ketua Menteri seterusnya meminta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) supaya dapat membantu memantau keadaan surau ini agar ia tidak disalah gunakan sebagai tempat istirehat sehingga menganggu pengunjung lain yang ingin bersembahyang.
"Kebersihan dan kesucian surau ini sebagai tempat ibadat juga perlu sentiasa dijaga kerana ia melambangkan imej Islam itu sendiri dan pada masa yang sama menjaga imej Negeri Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia," jelas Ketua Menteri.
Katanya, kerja-kerja renovasi bangunan asal Pusat Penerangan Pelancongan ini bermula awal Julai 2008 dengan kos sebanyak RM1.46 juta dengan menukar konsep bumbung asal yang berbentuk bumbung panjang atau limas kepada ciri-ciri yang lebih estetik iaitu bumbung Masjid Tradisional Melaka.
Mohd Ali menambah, selain surau, bahagian atas turut menyediakan ruang informasi yang lebih selesa dan 'user friendly' untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan yang lebih efisen kepada para pelancong.
Manakala tingkat bawah pula kata beliau, ia menempatkan kaunter informasi Bahagian Promosi Pelancongan, kaunter milik Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai, unit konservasi MBMB dan kaunter Jabatan Warisan.
No comments:
Post a Comment