Saturday 21 March 2009

DISKAUN ISTIMEWA PIKAT PELANCONG KE MELAKA

AYER KEROH, 20 Feb- Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini mengarahkan semua operator pusat pelancongan di negeri ini menawarkan potongan harga tiket istimewa pada hari Isnin hingga Khamis bertujuan menggalakkan kedatangan lebih ramai pelancong domestik pada hari-hari berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri perlu mencari alternatif baru bagi menggalakkan pelancong supaya terus berkunjung untuk memastikan industri pelancongan di negeri ini mampu bertahan terutama dalam kegawatan ekonomi yang sedang melanda seluruh dunia.

"Jika ada potongan harga pada hari berkenaan, ini akan menggalakkan orang bercuti dan berkunjung ke negeri ini. Ia juga sudah tentu dapat menghidupkan industri pelancongan domestik," kata Mohd Ali kepada para pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di sini, hari ini.

Katanya, beliau telah meminta pihak Zoo Melaka, Perbadanan Muzium Melaka, Menara Taming Sari (MTS), Eye On Malaysia (EOM), Melaka River Cruise dan beberapa pengendali tempat-tempat pelancongan lain memberi diskaun istimewa pada hari Isnin hingga Khamis.

"Mereka boleh mengenakan caj harga tiket pada kadar biasa pada hari Jumaat hingga Ahad serta musim cuti," kata Mohd Ali lagi.

Beliau juga akan meminta maklum balas daripada pihak-pihak berkenaan berhubung langkah terbaru yang akan diperkenalkan ini.

Ketua Menteri turut berharap agar pengusaha-pengusaha sektor perhotelan dan resort mengambil pendekatan yang serupa sebagai tarikan kepada kedatangan lebih ramai pelancong khususnya pelancong domestik.

"Kalau boleh pengusaha hotel dan resort ataupun pengusaha pusat-pusat makanan juga melakukan pendekatan yang sama. Ini perlu bukan sahaja untuk menggalakkan kedatangan pelancong tetapi bagi memastikan industri pelancongan di Melaka dapat terus bertahan dan 'vibrant' sepanjang masa," ujarnya.

Melaka telah menerima kedatangan seramai 32.9 juta pelancong dengan purata peningkatan 20 peratus setahun dan purata tempoh bermalam selama 1.78 malam, sejak tahun 1999 hingga 2007.

Dari jumlah tersebut, 72.7 peratus adalah pelancong domestik dan bakinya 27.3 peratus adalah pelancong asing.

Manakala pada tahun 2007, Melaka menerima kedatangan pelancong seramai 5,261,833 orang berbanding 5.1 juta pada tahun 2006.

Tambah membanggakan, tahun lepas Melaka berjaya melepasi sasaran 6.8 juta pelancong dengan mencatatkan seramai 7.2 juta orang.

Melaka yang kini mempunyai lebih 256 produk pelancongan telah mensasarkan kedatangan pelancong seramai 7.4 juta pada tahun ini.

Selain mewujudkan produk-produk pelancongan baru, Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) serta beberapa agensi lain terus berusaha mempromosikan pelancongan negeri ini di peringkat antarabangsa serta domestik termasuk Program Promosi Pelancongan 'Jom Ke Melaka!'.

- kalau datang ke Melaka jangan lupa menginap di Jafmanurin's Homestay

No comments:

Post a Comment